





Tiga insiden berlaku berturut-turut pada pagi ini yang membuat saya menulis artikel ini. Yang pertama pengalaman saya membersihkan kipas berjenama Jepun yang terkenal. Saya membelinya di salah sebuah kedai elektronik di pasar pembekal yang besar di JB. Di situ terdapat bermacam-macam jenama barangan elektronik, dan sebahagian besarnya datang dari negara Cina. Yang peliknya, harga yang dijual di sana lebih murah. Walaupun berasa ragu, saya tetap membeli sebuah kipas - tetapi buatan negara Jepun dan bukan negara Cina untuk 'play safe'. Masalahnya apabila saya ingin mencuci mata kipas tersebut, alangkah susahnya untuk menanggal dan memasang semula penutupnya. Terkial-kial hingga berpeluh dibuatnya. Berdasarkan pengalaman saya, kipas berjenama yang sama senang dibuka dan dipasang semula. Lalu saya pun berasa curiga akan ketulenan kipas tersebut. Untuk rekod, saya pernah membeli TV dari kedai yang sama dan dapat menggunakannya selama 1 bulan sahaja sebelum gambarnya padam buat selama-lamanya.
Insiden kedua pula melibatkan alat senaman berbentuk basikal. Baru dibeli 4 bulan yang lalu dan hanya digunakan selama dua bulan, kini sudah 'jammed' dan tidak boleh bergerak. Jenamanya berbunyi Jepun tetapi bukan dari negara Jepun. Timbul lagi perasaan curiga dan marah.
Yang terakhir pula mengenai jenama jam yang ingin saya beli daripada katalog. Sekali baca, sudah tentu kita akan keliru dengan jenama popular iaitu "Patek Philippe" tetapi yang ini lain sikit bunyinya - "...tak boleh disebut Philippe"
Pengajarannya: jangan cepat terpengaruh dengan harga murah. Nanti salah beli, kasut "adidas" jadi "adibas", baju dalam triumph jadi baju dalam (donald) "trump", baju "calvin klein" jadi baju "calvin kelain", seluar dalam "bum" (equipment) jadi seluar dalam "bom"!





