Kasi Betul Apa Yang Tak Betul

Ada Betul Kah?

Saturday, December 5, 2009

Musim orang kahwin


Minggu ini saja ada 4 jemputan kahwin yang perlu saya hadiri. Nampaknya semakin lebat hujan, semakin rancak pasangan mengadakan majlis perkahwinan. Mungkin ada hubung kait antara hari hujan dengan hari perkahwinan. Masa Pak Lah berkahwin dengan (Tun) Jean dulu, KL hujan lebat semalaman. Agaknya, lagi besar pangkat seseorang itu lagi lebat hujan turun!! Nasib baik pada masa itu Kofi Anan tak kahwin. Kalau dia pun kahwin, tentu "snow" 7 hari 7 malam di Afrika!

Tuesday, December 1, 2009

Orang Singapura....


Semalam semasa di kaunter pembayaran pasaraya Giant, ada orang S'pura ni yang tidak berkelakuan seperti orang S'pura yang saya kenali (termasuk Cina dan India). Dia buat silap kerana tidak menimbang sayurnya dahulu tetapi mula marah-marah dan mencampakkan sayurnya ke tepi seakan-akan juruwang yang bersalah.
Di pintu masuk pula ada dua buah kereta plat S'pura yang menghalang lalu lintas kerana menunggu ahli keluarga memindahkan barang dari troli. Masalahnya, apabila diberitahu baik-baik supaya ketepikan kereta mereka, mereka naik marah dan membalas "Tak boleh sabar ke?".
Berbeza sekali dengan orang S'pura yang saya kenali dulu. Mereka bersopan santun, mesra, tidak sombong (sesuai untuk dijadikan menantu) dan TAK banyak duit!!.
Tetapi sejak ekonomi mereka bertambah baik dan masing-masing bekerja dan berduit (serta matawang S'pura yang lebih tinggi) ramai yang telah berubah sikap.[tetapi tidak semua]
Sebenarnya fenomena ini bukan saja berlaku kepada orang S'pura, bahkan turut berlaku kepada orang M'sia. Apabila orang dah mula senang, mereka akan berubah sikap. Mereka berpendapat bahawa wang mereka boleh beli apa saja dan sesiapa saja.
Tetapi jangan lupa hidup ini ada pasang surutnya dan ia bak putaran roda. Hari ini hari anda tetapi esok lusa belum tahu. Takpe, hero kalah dulu...

Tetapi masalahnya, hero ni asyik kalah je....

Dia Bakar Lagi..!!


Saya tinggal di estet perumahan lama dan ramai daripada penduduknya sudah pencen atau bersara. Berkebun dan bakar-membakar (sampah) menjadi hobi mereka.
Mereka berkebun di mana saja asalkan ada tanah lapang atau terbiar. Tak kira tanah jiran ke, tanah kerajaan ke, asalkan kosong, mereka tanam. Mereka menyahut seruan Pak Lah supaya berjasa kepada tanah. Pokok serai menjadi satu kemestian. Memanglah kita selalu pakai serai dalam masakan kita, terutama sekali apabila memasak rendang, tetapi kalau dah satu rumah menanam tiga hingga empat rumpun serai, nak masak rendang untuk satu taman ke?
Selepas berkebun pula, mereka akan menyapu dan melonggokkan daun-daun kering lalu membakarnya. Masalahnya angin selalu meniup ke arah rumah saya dan habis kain dan baju di ampaian terkena asap. Setiap hari baju yang baru dicuci akan berbau asap. Kalau nak ditegur mereka dah tua dan akan menjejas hubungan sesama jiran.
Nak sedapkan hati, saya selalu beritahu keluarga saya bahawa kita tinggal di kawasan perumahan Red Indian. Setiap kali ada berita penting, seperti kematian atau kenduri, mereka akan menghantar isyarat asap yang kecil kepada geng-geng mereka. Kalau isyarat asap yang dihantar itu tebal dan tinggi, bermakna ada berita panas tentang anak dara jiran tetangga. Kalau asap itu terlalu tebal dan tidak henti-henti, itu bermakna rumah mak cik dan pak cik tu kena bakar!!

Monday, November 30, 2009

Murah...murah








Tiga insiden berlaku berturut-turut pada pagi ini yang membuat saya menulis artikel ini. Yang pertama pengalaman saya membersihkan kipas berjenama Jepun yang terkenal. Saya membelinya di salah sebuah kedai elektronik di pasar pembekal yang besar di JB. Di situ terdapat bermacam-macam jenama barangan elektronik, dan sebahagian besarnya datang dari negara Cina. Yang peliknya, harga yang dijual di sana lebih murah. Walaupun berasa ragu, saya tetap membeli sebuah kipas - tetapi buatan negara Jepun dan bukan negara Cina untuk 'play safe'. Masalahnya apabila saya ingin mencuci mata kipas tersebut, alangkah susahnya untuk menanggal dan memasang semula penutupnya. Terkial-kial hingga berpeluh dibuatnya. Berdasarkan pengalaman saya, kipas berjenama yang sama senang dibuka dan dipasang semula. Lalu saya pun berasa curiga akan ketulenan kipas tersebut. Untuk rekod, saya pernah membeli TV dari kedai yang sama dan dapat menggunakannya selama 1 bulan sahaja sebelum gambarnya padam buat selama-lamanya.
Insiden kedua pula melibatkan alat senaman berbentuk basikal. Baru dibeli 4 bulan yang lalu dan hanya digunakan selama dua bulan, kini sudah 'jammed' dan tidak boleh bergerak. Jenamanya berbunyi Jepun tetapi bukan dari negara Jepun. Timbul lagi perasaan curiga dan marah.
Yang terakhir pula mengenai jenama jam yang ingin saya beli daripada katalog. Sekali baca, sudah tentu kita akan keliru dengan jenama popular iaitu "Patek Philippe" tetapi yang ini lain sikit bunyinya - "...tak boleh disebut Philippe"
Pengajarannya: jangan cepat terpengaruh dengan harga murah. Nanti salah beli, kasut "adidas" jadi "adibas", baju dalam triumph jadi baju dalam (donald) "trump", baju "calvin klein" jadi baju "calvin kelain", seluar dalam "bum" (equipment) jadi seluar dalam "bom"!

Saturday, November 28, 2009

Bahasa Jiwa Bangsa


Walaupun keputusan telah dibuat tetapi isu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Malaysia masih hebat diperkatakan. Antara yang menarik perhatian saya adalah pendapat bahawa mengajar sains dan matematik dalam bahasa Malaysia akan membantu murid Melayu (terutama sekali di luar bandar) mencapai keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan.
Anehnya, markah murid Cina bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah (terutama sekali di sekolah bandar) secara umum lebih baik daripada murid Melayu. Jika kita menggunakan logik yang sama, patutkah Bahasa Malaysia diajar dalam bahasa Inggeris supaya murid Melayu di bandar boleh mendapat keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan?
Saya rasa isunya bukan bahasa tetapi lebih kepada sikap. Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Jika orang dulu yang berasal dari kampung boleh berjaya mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kenapa tidak sekarang? Tun Dr Mahathir adalah contoh terbaik.
Teringat saya cerita tentang anak murid Cikgu Othman dari kampong yang memberi contoh perkataan Inggeris yang diketahuinya:- "sports rim, ste'reng wil dan gran' bal???". Kawan saya dari Terengganu pula bertanya "Your Air Kong Nok Openg" [your air cond. not open?? (on)] apabila bilik terlalu panas manakala kawan dari Kelantan pula paling suka menonton cerita "The May With The Golden Gae" (the man with the golden gun)!!.

Friday, November 27, 2009

Jiran Kita


Dua hari yang lalu saya terbaca berita mengenai seorang penghuni rumah pangsa di Johor Bahru yang membela ayam di tingkat bawah lalu mengundang banyak rungutan daripada jiran tetangga. Nasib baik dia bela ayam, bukan lintah atau cacing yang semakin popular dewasa ini!
Asasnya, ramai yang mementingkan diri sendiri dan terlupa bahawa mereka hidup di bandar dan mempunyai jiran yang tinggal di blok atau bumbung yang sama. Mereka berpendapat bahawa mereka mengamalkan cara hidup di kampong seperti yang digalakkan oleh sesetengah pihak. Jadi tidak hairanlah jika ramai yang ingin membela ayam, menanam pokok pisang (paling popular di taman perumahan), kelapa, cempedak, sukun (selalunya pokok-pokok ini ditanam di seberang jalan dan tidak di rumah sendiri!).
Pada pendapat saya, mereka sepatutnya membawa nilai-nilai masyarakat kampong ke bandar seperti semangat bergotong royong, melawat jiran yang sakit dan bukan membawa binatang peliharaan atau pokok-pokok kampung ke taman perumahan mereka di bandar. Ramai yang berpendapat bahawa menanam pokok yang ada hasil seperti pokok buah-buahan lebih baik daripada menanam pokok bunga atau pokok yang tidak berbuah. Tetapi mereka lupa bahawa semua pokok adalah ciptaan Tuhan dan ada gunanya, cuma manusia saja yang belum tahu akan kegunaannya. (Sekarang ini sudah ada ahli akademik kita yang membuat penyelidikan ke atas lalang.)
Kalau diikutkan cara mereka berfikir, nak juga saya tanam pokok kelapa sawit dan getah di laman rumah saya. Sudah tentu banyak hasilnya. Nak lagi kaya, tanam aje pokok kayu Jati!!

Thursday, November 26, 2009

Kita serupa



Terima kasih saya ucapkan kepada Cikgu Othman (satu perguruan di sek. pondok semanggur) kerana mengingatkan saya sekeluarga supaya berdoa pada waktu mustajab (petang Khamis) semasa jemaah haji sedang berwukuf di Arafah. Alangkah sayunya melihat seluruh jemaah haji bersatu, tidak kira warna kulit atau status.
Cakap pasal status, teringat saya tentang rancangan forum agama yang popular. Saya selalu tersenyum melihat perbezaan antara tempat duduk tetamu VIP dengan tetamu biasa. Kerusi yang diduduki VIP selalunya empok dan penuh kerawang. Kadang-kala ukirannya melampau sehingga terbayang rupa orang yang mengukir kerusi tersebut - badan sasa dan berotot-otot, pakai ketoprak wak jawa, bulu kening tajam seperti Jihan Miskin, misai melentik - kalah A. Galak, tangkal di lengan kiri dan kanan, macam pendekar Majapahit.
Manakala kerusi tetamu biasa diperbuat daripada plastik murah - terbayang wajah taukenya yang berseluar 'katok' belang-belang dan pakai singlet (brand pagoda) lusuh dan menggelebeh!! (menggelebir)

Pakaian


Esok hari raya..dah tentu ramai orang Melayu akan pakai baju Melayu.
Cakap pasal baju, teringat saya tentang isu wakil rakyat parti pembangkang yang enggan memakai songkok masuk Dewan Undangan Negeri tahun lalu. Perkara yang sama juga berlaku apabila sekolah anak saya memperkenalkan songkok untuk dipakai oleh pengawasnya. Ahli parti pembangkang telah menelefon pengetua sekolah meminta penjelasan dan menarik balik keputusan mewajibkan pengawasnya memakai songkok.
Pada pendapat saya, mereka mungkin tidak faham bahawa songkok sudah menjadi sebahagian daripada pakaian penduduk Nusantara sejak dari dulu lagi. Ia bukan pakaian orang Islam sahaja, malah turut dipakai oleh orang bukan Islam di Indonesia. Yang peliknya, mereka boleh menerima beret (sebut be-ray) yang diperkenalkan oleh askar perancis, tetapi tak nak pakai songkok askar Melayu. (Tapi kalau nak terima gelaran Datuk/Tan Sri daripada Sultan, takde pun yang complain). Lebih teruk lagi, mereka (termasuk orang kita) juga boleh pakai baju kot dan tali leher yang diperkenalkan oleh penjajah British dalam cuaca panas negara kita!.
Nasib baik kita dijajah oleh negara Britain, kalau kita dijajah oleh negara Afrika???

Tuesday, November 24, 2009

Kesian....

Semasa saya menulis ini, Hakim dan Pa'an (anak sepupu) sedang mengulang kaji pelajaran mereka untuk SPM 2009 - sebab esok ada kertas Add. Maths. Kesian tengok mereka. Macam nak pecah kepala belajar.
Zaman saya dulu taklah seteruk ini. Mungkin teruk tetapi saya aje yang jadikannya tak teruk kerana Mathematics bukanlah subjek kegemaran saya. Kadang-kadang saya terfikir jugak, belajar maths macam nak pecah kepala tetapi dalam kehidupan seharian, tidak banyak pun pakai formula yang belajar di sekolah dulu...(sebab tu tak jadi engineer atau ahli fizik!)
Walaupun zaman sudah berubah tetapi dasarnya tetap sama. Kita harus menimba ilmu supaya kita boleh memperbaiki diri kita dan keadaan di sekeliling kita. Saya selalu berpesan kepada mereka bahawa SPM ibarat pasport - untuk memasuki institusi tinggi dan mengubah hidup kita. Jika berjaya, kita akan melangkahkan kaki ke pusat matrikulasi - bermakna sudah selangkah memasuki universiti kerana soalan peperiksaan akan disediakan oleh pensyarah kita sendiri dan bukan oleh penggubal yang tidak dikenali. Manakala yang benar-benar berjaya pula, mereka akan mengambil A level di institusi swasta dan kemudian ke luar negara dengan bantuan biasiswa.
Cakap pasal biasiswa, saya amat terkejut apabila mendapati ramai anak Melayu kita yang berjaya dalam peperiksaan 'A' level di institusi swasta dengan mendapat straight 'A's. Sebelum ini saya tidak tahu wujudnya Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin. Saya membaca blog pelajarnya dan mendapati ramai bekas pelajar mereka yang berbangsa Melayu mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama dari Universiti terkemuka di dunia seperti Oxford, Cambridge dan London School of Economics. Siapa kata orang Melayu tak pandai? Masalahnya akhbar tak banyak tulis pasal mereka ini. Jika anak Melayu boleh mendapat ijazah kelas pertama di universiti London School of Economics, itu bemakna anak Melayu sama taraf dengan ramai menteri kewangan dan gabenor bank dunia. Bekas Menteri Kewangan Singapura yang pertama dulu iaitu Goh Keng Swee adalah lulusan dari universiti yang sama. Beliau dipandang tinggi kerana menjadi perancang pembangunan ekonomi Singapura. Lantas, tidak mustahil bagi anak Melayu lulusan universiti yang sama boleh merancang ekonomi kita sehebat beliau.

Banyak sangat idea dalam kepala




Buat pertama kali saya cuba menulis dalam blog saya sendiri. Hanya untuk kepuasan diri. Dapat sampaikan apa yang ingin saya sampaikan ...mengenai pelbagai perkara - renungan bersama, ketidakpuasan tentang sesuatu perkara, berkongsi pengalaman dan sebagainya. InsyaAllah saya akan berkongsi pandangan saya ini dengan sesiapa saja yang berminat membacanya dan ingin berkongsi pendapat dan memberikan komen.